Catatan Ulang Tahun Perkahwinan Ke 21

Hmmmm...9.4.2019 nanti genap usia perkahwinan aku dengan isteriku ini. Kami dikurniakan 4 orang anak, 3 lelaki dan satu orang perempuan. Isteri aku ini aku sifatkan sebagai seorang yang sangat penyabar, beriman dan sangat menjaga dirinya sebagai seorang Islam. Aku beruntung sekali...Aku cuba garapkan sajak/puisi sebagai catatan atas sambutan ini. Semoga menjadi kenangan yang manis buat kami suatu masa kelak.


Dari Jendela Hidup

Suatu ketika itu kita terpisah oleh jarak

Dan kejauhan itu menjadikan aku perindu dan pemujamu isteriku

Bukan hangat tubuhmu diidam

Saat sepi menyelimut malam

Namun ketabahanmu, kecekalanmu menjadikan aku perindu

Merenung jauh keluar dari kamar beradu

Mengimbau liku liku hidup berdua

21 tahun melayari bahtera

Kadang ada disapa gelombang

Namun kita tabah

Lebih lebih lagi dirimu…

Saat dirimu terlena

Aku tanpa jemu menatap wajah penatmu…

Sabarlah sayang

Andai aku ini tidak romantis

Apa lagi bermadah manis….

Aku kagum sekali

9 tahun dirimu menjadi hamba Bondaku

Malam siangmu sama sahaja

Tidak pernah berbeza rutinmu…

Hujung minggukah

Cuti umumkah

Hari Rayakah…sama sahaja

Saat-saat akhir Bonda diduniapun

Dirimulah disisinya….

Mengenal nazak diri Bonda

Sehingga aku menumpang untung

Atas keikhlasanmu…

Aku bisa bersama

Hingga akhir nafas Bonda

Terima kasih sayang

Atas kasih sayangmu

Selagi hayat ada

Selagi peluang ada

Aku akan memujamu

Mengkagumimu….

Dan mendoakanmu…

Maafkan aku kerana tidak mampu menyusun bahasa puitis….

Aku ini anak kampung

Tidak pernah tahu menghulur jambangan bunga….

Bagaimanapun aku ingin mengucapkan

Selamat hari Ulang Tahun Perkahwinan Yang ke 21 Duhai Isteriku

9.4.98 – 9.4.19

Biar dunia tahu aku beruntung sangat

Menjadikan dirimu isteriku yang pertama (Ehem….masuk daun nampakkkk)


Nukilan: 

Rusdi Mohamad Noor

05042019 1035pm Sibu


Comments